BERITA TERKINI

Saturday, 1 March 2014

Pemandu maut treler terbalik

Advertisement
GUA MUSANG - “Saya terkejut dan tergamam melihat treler yang muatan sebuah jengkaut meluru ke arah kedai tempat kami makan, tetapi pemandu dapat mengelak sebelum merempuh penghadang jalan.

“Sayu juga selepas itu melihat pemandunya tercampak keluar dan meninggal dunia sebaik trelernya merempuh bukit lalu terbalik,” kata seorang saksi, Muhamad Fauzi, 37 yang melihat kemalangan treler terbabas sebelum terbalik di Lojing, petang semalam.

Beliau dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Gua Musang berkata, yang pelihnya selepas treler itu merempuh penghadang jalan dan jengkaut di atasnya tercampak ke dalam Sungai Belatop.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 petang itu, pemandunya, Ahmad Faizal Mohamadm 38, maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.

Kemalangan berkenaan berlaku di Kilometer 84 Jalan Lojing - Gua Musang ketika treler itu dalam perjalanan membawa jengkaut dari Lojing menghala ke Gua Musang.

Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit di kawasan selekoh menyebabkan merempuh penghadang jalan menyebabkan jengkaut yang berada di atas treler terbabit tercampak ke dalam Sungai Belatop, Lojing.

Selepas itu, treler terbabit terus terseret ke depan sejauh 40 meter sebelum terbalik dan terdampar di tepi bukit hingga keadaan kenderaan itu hancur sama sekali.

Muhamad berkata, ramai pengguna jalan tersebut terkejut melihat kejadian itu kerana selepas treler terbabit melanggar penghadang jalan merempuh bukit pula hingga treler berkenaan terbalik.

Beliau berkata, treler itu dipandu laju dan mungkin pemandunya tidak dapat mengawal ketika treler menuruni bukit dan jalan berselekoh.

“Treler itu juga hampir merempuh sebuah kedai makan tidak jauh dari situ dan bernasib baik semuanya selamat walaupun sempat melihat keadaan treler itu terhumban ambing sebelum terbalik di tepi bukit.
     
“Memang pelik sekali melihatnya kerana jengkaut yang berada di atas treler itu tercampak ke dalam Sungai Belatop, tetapi treler masih boleh bergerak laju sejauh 40 meter hingga pemandunya tercampak keluar di situ,” katanya.
   
Seorang penduduk Orang Asli, Angah Along pula mengakui kawasan itu sudah beberapa kali berlaku kemalangan membabitkan lori dan treler kerana kawasan menuruni bukit dan berselekoh.
     
``Kali ini berlaku di depan saya sendiri dan amat takut sekali melihatnya kerana bimbang juga ketika itu takut treler terbabit merempuh kedai makan yang ramai pelanggannya,” katanya.
     
Jurucakap Polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
     
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarnya lewat petang semalam.

Post a Comment