BERITA TERKINI

Wednesday, 5 March 2014

Janda anak empat ditahan kes dadah

Advertisement
PASIR PUTEH - Tindakan menyorok dadah dalam tiang besi katil dua tingkat tidak berhasil apabila taktik itu berjaya dikesan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh yang membuat serbuan jam 3 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, sehubungan itu, tiga termasuk janda anak empat ditahan dalam rumah tidak bernombor di Simpang Tiga Merkang menerusi Ops Tapis itu.

Ketika serbuan dilakukan katanya, ketiga-tiga suspek sedang tidur di dalam bilik berkenaan sebelum terkejut dengan kehadiran polis diketuai Inspektor Eddy Yusman Abu Bakar.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dua paket plastik cerah dan tiga tiub straw berjalur biru berisi hablur kristal disyaki dadah yang disembunyikan dalam tiang katil dua tingkat di bilik berkenaan,” katanya.

Mohd Kamal berkata, dua pemuda berusia 21 dan 23 tahun dan janda berusia 37 tahun yang tidak mempunyai pertalian keluarga itu ditahan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 23 tahun itu mendakwa memperoleh bekalan dadah itu dari Kuantan, Pahang untuk dijual di sekitar Pasir Puteh secara runcit.

“Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke IPD untuk pemeriksaan ujian air kencing sebelum mendapati ia positif, mereka kini ditahan reman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, pihaknya melakukan risikan dan intipan selama beberapa hari sebaik mendapat maklumat daripada orang ramai dan perancangan rapi dilakukan sebelum serbuan dibuat kerana suspek agak licik serta jarang berada di rumah kerana bimbang ditangkap polis.

Post a Comment