Bersandarkan ciri-ciri tersebut, Arash Farahmandi mewujudkan sebuah restoran dengan nama Amethyst. Konsep separa kasual dengan cantuman sentuhan mewah dan minimalis restoran itu mendukung sempurna prinsip batu perhiasan tersebut.
Dekorasi dalaman dimonopoli tona ungu mewah lengkap bersama sudut privasi dan pencahayaan sederhana. Mampu memuatkan sehingga 60 orang dalam satu-satu masa, pelanggan Amethyst boleh memilih sama ada mahu bersantap di ruang terbuka (alfresco) atau kawasan VIP yang eksklusif.
Konsep dapur terbukanya pula membuatkan pelanggan berasa seperti berada di rumah. Seleksi juadah menggunakan bahan-bahan berkualiti dengan rasa unik menjadi kekuatan Amethyst.
Gabungan hidangan Barat-Itali merupakan signatur Amethyst. Stik ratatouille bersama nasi safron antara menu wajib untuk dicuba. Ratatouille ialah sayur yang terdiri daripada campuran bawang, timun courgette, tomato, terung ungu dan lada yang digoreng dan distu menggunakan minyak.
Daging lembu yang diperam dan dimasak sehingga teksturnya lembut pula menjadi pelengkap sempurna kepada nasi safron, cutni buatan sendiri dan sayur ratatouille. Justeru, anda dapat menikmati kombinasi rasa masam, manis dan pedas dalam satu pinggan.
Menu popular lain termasuklah kepak ayam barbeku yang diperam menggunakan sos tersendiri, pilihan pasta vegetarian dan sandwic filet campuran istimewa Greece.
Kebanyakan hidangan disediakan bersama sos-sos buatan sendiri. Amethyst turut menggunakan teknik masakan kreatif bagi menghasilkan rasa dan tekstur yang unik. Ia dapat dibuktikan menerusi hidangan salmon berkulit rangup.
Salmonnya digoreng di atas kuali bersama bayam dan sos lemon kaper. Kombinasi salmon lembut dan berjus bersama bayam serta sos istimewa menjadikan ia hidangan yang menyelerakan. Tidak lupa, lamb shank yang dimasak lembut sempurna dengan sos berperisa unik.
Farahmandi yang juga pengasas Amethyst pada majlis pelancaran restorannya memberitahu: "Di restoran kami, pandangan pelanggan sangat diutamakan dan kami amat menghargai sebarang maklum balas."
Seleksi hidangan di Amethyst ditawarkan pada harga bermula RM16 hingga RM52.
Source

Post a Comment